![]() |
Mohd Izani (tengah) menyampaikan sumbangan kepada guru besar SK Kampung Contoh pada program Ceria Kembali ke Sekolah, anjuran Malaysia Airports di Imago Shopping Mall, hari ini. |
KOTA KINABALU: Seramai 150 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Contoh, Petagas, telah menerima manfaat melalui program Ceria Kembali ke Sekolah, anjuran Malaysia Airports di bawah inisiatif tanggungjawab korporatnya, MyAirportCARES.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, dengan jumlah sumbangan bernilai RM87,000, setiap pelajar menerima baucar membeli-belah bernilai RM400 yang digunakan di Imago Mall untuk membeli barangan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, beg, dan alat tulis.
Katanya, program ini bertujuan menyediakan kelengkapan sekolah untuk pelajar bagi memulakan sesi persekolahan baharu dengan penuh semangat.
“Pendidikan merupakan asas pembangunan negara. Generasi muda hari ini adalah pelapis pemimpin negara yang akan memacu Malaysia ke arah yang lebih gemilang.
“Oleh itu, bantuan ini bukan sekadar untuk melengkapkan keperluan persekolahan anak-anak ini, tetapi untuk menyuntik motivasi agar mereka terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.
![]() |
Mohd Izani turut beramah mesra bersama salah seorang pelajar SK Kampung Contoh, Petagas ketika program tersebut dijalankan. |
Selain itu, kerjasama dengan Yayasan MyKasih memperuntukkan tambahan RM180 melalui kad pintar, membolehkan pelajar membeli barang keperluan di kedai buku sekolah dari Januari hingga Mac 2025.
Beliau turut menjelaskan bahawa program ini juga disertai oleh 35 sukarelawan daripada wargakerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, yang beramah mesra dengan para pelajar dan memberi sokongan moral kepada mereka.
Menurut beliau, program Ceria Kembali ke Sekolah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MyAirportCARES yang dilancarkan pada 2018.
![]() |
Mohd Izani ketika menyampaikan kad Pintar (MyKasih) kepada para pelajar. |
“Pada asasnya ianya untuk bekerjasama dengan komuniti di sekitar lapangan terbang, dalam program kembali ke sekolah ini, kami mempunyai kanak-kanak b40 untuk memastikan bahawa kanak-kanak ini akan mendapat kelengkapan persekolahan yang cukup.
“Semoga ini dapat membawa keceriaan kepada mereka,” katanya dalam sesi temuduga, di sini, hari ini.
Sehingga kini, lebih daripada 4,000 pelajar di seluruh negara telah menerima bantuan melalui program ini, dengan jumlah sumbangan terkumpul sebanyak RM1.2 juta.
Sementara itu, Sabah menjadi destinasi kedua bagi program Ceria Kembali ke Sekolah selepas Langkawi pada Disember 2024.
“Kita mempunyai lapangan terbang di sini, jadi program ini akan dijalankan secara bergilir, bermula dari Langkawi, Sabah, dan mungkin suatu hari nanti di Kelantan serta Terengganu. Kami komited untuk memastikan setiap negeri mendapat peluang dan manfaat yang adil,” tambahnya.