![]() |
Jeffrey selepas menyempurnakan Pelancaran Pemuda GRS bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan 'serangan' dilakukan oleh segelintir pihak tertentu khususnya dari pembangkang baru-baru ini merupakan permainan politik dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan negeri.
Semalam, portal berita tempatan melaporkan Bendahari Pemuda UMNO, Naim Kurniawan Moktar mengeluarkan kenyataan yang mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletakkan jawatan dan mencadangkan mengambil alih sebagai pentadbiran interim.
Memetik laporan media portal media terbabit, Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan membalas kenyataan Naim yang berkata Hajiji perlu menunjukkan kepimpinan dengan berundur untuk ‘memberi laluan kepada Kitingan yang memiliki kredibiliti, integriti, dan reputasi positif’.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu ketika ditemui hari ini, Jeffrey berkata desakan terhadap Hajiji untuk meletakkan jawatan hanya disebabkan beberapa video tular berkaitan skandal rasuah yang didakwa mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah tidak adil.
"Pertama sekali, saya rasa ini tidak adil dan sepatutnya tidak dikatakan meminta Ketua Menteri letak jawatan. Pertama sekali, apa kesalahannya? Beliau (Hajiji) tidak pun diambil tindakan, tidak masuk mahkamah.
"Hanya perasan video-video yang saya ingat sudah jadi permainan mereka yang disengajakan untuk mencemarkan imej mereka.
"Kedua, buat apa mereka tarik nama saya kalau bukan tujuan untuk memecah belahkan dan memporak-perandakan pimpinan kita dalam GRS? Jadi saya faham semua itu (permainan politik).
"Sebab itu saya katakan kenyataan itu sepatutnya tidak keluar, apalagi sepatutnya yang turun daripada jawatan 'mereka' adalah 'mereka". Kebanyakan pemimpin 'mereka' sudah disabit kesalahan, ada yang dalam penjara, ada yang dalam mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran Pemuda GRS bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum.
Dalam pada itu, beliau turut berkata GRS akan memberi peluang yang sewajarnya kepada golongan muda untuk dicalonkan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang ini.
"Kita berikan peluang untuk mereka (golongan muda) di mana (jika) mereka sudah bersedia dan mereka mempunyai peluang untuk menang.
"Tetapi seperti biasa ia berasas kepada realiti, mungkin ada (calon) yang ditandingkan, ada yang tidak dapat ditandingi, bergantung kepada apa yang saya katakan.
"Saya melihat semangat juang pemuda (golongan muda) ini memang tinggi dan mereka sudah mulai bersedia.
"Sudah tentu kita akan pastikan mereka lebih bersedia, sebab Pengundi 18 Tahun ini adalah kumpulan yang paling penting," katanya.