![]() |
Anggota Polis Daerah Tawau berjaya menahanDua lelaki berusia 30 dan 64 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun ketika cuba melarikan diri, di Kampung Merotai Besar, Tawau. |
TAWAU: Seorang lelaki dipercayai dipukul dan dikurung oleh keluarga teman wanitanya dalam satu insiden yang berlaku di Kampung Merotai Besar, Tawau, pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian itu bermula pada Selasa lalu ketika mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya yang memaklumkan bahawa dia sedang mengandung.
Menurut Jasmin, mangsa menerima pesanan lain daripada teman wanitanya yang meminta dia datang ke rumahnya pada Rabu, kira-kira jam 7.00 pagi.
“Sejurus tiba di rumah suspek 3 jam kemudian, mangsa diarah masuk ke dalam bilik dan mendakwa dia telah dikurung oleh bapa wanita tersebut.
“Situasi bertambah tegang apabila dia dipukul dengan kepala tali pinggang serta ditumbuk di bahagian kepala oleh abang kepada teman wanitanya dan mangsa juga turut diancam dengan sebilah pedang samurai,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial Polis Daerah Tawau, hari ini.
Jasmin menjelaskan bahawa mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik sebelum berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan daripada orang awam.
Di samping itu, anggota Polis Bombalai berjaya menahan tiga suspek pada malam kejadian sekitar jam 10.30 malam.
“Dua lelaki berusia 30 dan 64 tahun serta seorang wanita berusia 25 tahun telah diberkas ketika cuba melarikan diri,” katanya.
Susulan kejadian itu, pihak Polis turut merampas sebilah pedang samurai bersarung, sebuah seterika, dan telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam insiden tersebut.
“Polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat serta menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai,” tambahnya.
Jasmin memaklumkan bahawa kes akan disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah.