![]() |
Jeffrey Kitingan. |
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menafikan beliau bersubahat dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian dengan merujuk satu video tular di laman media sosial baru-baru ini yang mendakwa beliau terlibat dalam perkara terbabit.
Dalam video terbabit turut memaparkan tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp yang didakwa merupakan perbualan beliau dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan Hajiji menerusi beberapa video skandal rasuah didakwa mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Susulan itu, Jeffrey yang mengambil maklum mengenai video terbabit menafikan wujudnya sebarang konspirasi untuk menjatuhkan Hajiji.
"Tuduhan itu adalah palsu, mengelirukan, dan bermotifkan politik. Saya percaya ia bertujuan untuk memecah-belahkan GRS dan rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Tangkap layar yang dirujuk, didakwa dari 1 November lepas itu menampilkan sebahagian perbualan yang diambil sepenuhnya di luar konteks dan bertujuan untuk menyokong tuduhan secara palsu.
"Tambahan pula, dakwaan ini kelihatan bertepatan dengan tuduhan tidak berasas baru-baru ini terhadap kerajaan negeri Sabah, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya percaya pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran kelak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Jeffrey turut berkata pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh terhadap Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 selepas PRN-16.
Disamping itu, beliau turut berkata pihaknya komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politi kdan pembangunan berterusan untuk negeri Sabah.
"Sebarang percubaan untuk z perpecahan antara pemimpin yang berusaha membawa Sabah ke arah yang lebih baik tidak akan berjaya.
"Saya menyeru orang ramai supaya berwaspada terhadap maklumat palsu dan tidak menjadi mangsa naratif berniat jahat yang bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri.
"Saya akan terus fokus untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan penuh integriti dan ketelusan," katanya.