KOTA BELUD: Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai Kampung Piasau, semalam akhirnya ditemui meninggal dunia, pagi tadi akibat lemas.
Mangsa, Lysbet Tom Jones, 10, ditemui kira-kira jam 8.36 pagi tadi pada jarak 600 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata pihaknya bersama agensi lain menjalankan operasi pada hari kedua seawal jam 8.10 pagi.
“Mangsa berjaya ditemui selepas kira-kira 20 minit operasi dijalankan oleh pasukan SAR bersama penduduk kampung pada jarak 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Jenazah kanak-kanak terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik penemuan mayat mangsa terbabit, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.
Semalam, mangsa dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan bersama beberapa rakannya, kira-kira jam 2.30 petang.
BBP Kota Belud telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.41 petang dan telah menggerakkan operasi mencari kanak-kanak terbabit.