Isteri maut, suami dan dua anak cedera dalam kemalangan

Kereta jenis Honda Accord yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Iramanis, Jalan Lintas


KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas kereta jenis Honda Accord yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Iramanis, Jalan Lintas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, suami mangsa berusia 61 tahun yang memandu kenderaan dan dua anak lelaki mereka berusia 15 dan 23 tahun turut mengalami kecederaan.

Mangsa Sarimah Januil, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar kira-kira 50 meter dari kereta mereka.

Difahamkan, kereta yang dipandu suami mangsa terlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Azla sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam parit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.09 malam.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan dua kereta jenis Honda Accord dan Perodua Alza.

“Terdapat empat mangsa di dalam kereta Honda Accord, tiga mangsa cedera manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Dua mangsa termasuk pemandu kereta Perodua Alza terbabit pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 10.15 malam,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama