Curi elektrik, lelaki didenda RM20,000

SANDAKAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda berjumlah RM20,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan di sini, pada 9 Disember baru-baru ini setelah disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan mencuri bekalan elektrik.

Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam satu kenyataan mengatakan tidak akan berkompromi kepada individu atau syarikat yang melanggar undang-undang yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Semua aktiviti kecurian elektrik yang berleluasa di Sabah telah mengakibatkan kerugian yang parah terhadap Sabah Electricity (SE), ” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, dengan menambah bahawa pihak SE juga akan memulakan tindakan undang-undang sivil menuntut kerugian mulai awal tahun 2025.

Dalam sesi pendakwaan yang telah dijalankan oleh pegawai pendakwa ECoS, Nureen Natasha Raffie pada 9 Disember di Mahkamah Sesyen Sandakan, individu Cheen Hai Hok telah mengaku bersalah terhadap tiga kes berasingan yang menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity (SE) berjumlah lebih daripada RM180,089.24, dan hakim Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bayaran denda sebanyak RM20,000 dan sekiranya gagal, penjara selama 6 bulan bagi setiap kes.

Individu atau syarikat yang didapati mencuri elektrik boleh didakwa di bawah Seksyen 61(3)(e) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

“ECoS akan meneruskan proses pendakwaan bagi melindungi keselamatan dan kepentingan awam di samping meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan elektrik.

"Setakat ini ECoS telah mendakwa sebelas kes kecurian elektrik dan beberapa lagi kes yang ditemui tahun ini akan berhadapan dengan tindakan pendakwaan awal tahun hadapan," kata Mohd Adam Bohari, Pengarah Hal Ehwal Undang Undang ECoS.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama