![]() |
Jalan raya rosak di Jalan Kilang, Lahad Datu. |
LAHAD DATU: Masalah jalan raya rosak di Jalan Kilang, Lahad Datu (LD) disebabkan berlaku bantahan pihak ketiga sehingga syarikat konsesi Globinaco Sdn. Bhd tidak dapat membuat kerja penyelenggaraan.
Terdahulu, JKR Sabah mengulas sebuah video yang tular di media sosial mengenai Jalan Kilang, Lahad Datu yang menimbulkan pelbagai reaksi oleh netizen.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berkata, jalan itu kini dalam keadaan yang sangat teruk akibat sudah berlubang besar sehingga menyukarkan kenderaan kecil melaluinya.
Katanya, jalan negeri itu di bawah senggaraan konsesi dilantik dan lokasinya juga sudah disenaraikan untuk pembaikan pada tahun ini dan peruntukan juga telah diluluskan.
“Namun kerja pembaikan tidak dapat dimulakan disebabkan terdapat bantahan daripada pihak ketiga yang mendakwa status tanah di lokasi itu masih tanah persendirian dan bukannya rizab jalan.
“Perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Tanah & Ukur (JTU) dan kini sedang menunggu pengesahan sebelum kerja-kerja pembaikan dimulakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Jurutera Daerah Lahad Datu telah memaklumkan bahawa terdapat individu yang menghalang pihak konsesi untuk melaksanakan kerja pembaikan jalan di lokasi berkenaan.
“Individu terbabit mengakui Jalan Kilang termasuk dalam kawasan tanahnya dan pihak konsesi sudah beberapa kali dihalang ketika mahu melaksanakan kerja pembaikan itu,” katanya.