Sabah jadikan ECRL model cadangan pembangunan Projek Keretapi Trans Borneo

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya - ihsan JKR Sabah


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menjadikan  Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai model bagi cadangan pembangunan Projek Keretapi Trans Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata bagi tujuan tersebut, kerjasama dari tiga wilayah terbabit diperlukan apabila kajian selesai yang dijadualkan bermula bulan depan.

Menurutnya, walapun projek terbabit dikendalikan Kerajaan Persekutuan namun tidak menjejaskan hak Sabah berkaitan urusan kereta api yang termaktub dalam perlembagaan bahawa ia bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kita melihat kepada model pelaksanaan ECRL di Semenanjung yang mana jajarannya merentasi beberapa negeri dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

"Boleh kita katakan bahawa kita amat mengalu-alukan kajian ini dan setelah ia mendapat 'outcome' yang diinginkan, maka pihak Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam akan berbincang dengan lebih terperinci untuk pelaksanaannya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS- Sindumin) dan Datuk Seri Yong Teck Lee berkaitan projek itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya menerusi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) turut menjadi Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Ahli Jawatankuasa Teknikal bagi kajian terbabit.

Katanya, kajian meliputi tiga skop iaitu menentukan jajaran yang sesuai untuk landasan dan sistem kereta api dengan mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kos.

Selain itu, dalam skop keduaa adalah menentukan keseluruhan infrastruktur diperlukan di sepanjang laluan seperti lintasan rata, jejambat, stesen dan depoh,

Bagi skop ketiga adalah melaksanakan kajian kejuruteraan menyeluruh untuk memastikan sistem kereta api yang bakal dibina berteknologi terkini serta berdaya maju setanding sistem kereta api dunia," katanya.

Katanya, selain laluan menghubungkan Sarawak dan Brunei melalui jajaran Beaufort-Sipitang-Lawas (Sarawak), tiga lagi jajaran di Sabat turut dimasukkan membabitkan jajaran Tanjung Aru-Kudat; Sandakan-Pitas-Kudat; dan Tawau-Lahad Datu-Sandakan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama