![]() |
Keadaan pacuan empat roda yang membawa muatan lebih 1.5 tan ikan terjunam ke dalam sungai di Batu 2 Jalan Apas, dekat sini, awal pagi tadi. |
TAWAU : Penduduk Kampung Kopi Blues, Batu 2 Jalan Apas, di sini, tidak melepas peluang mengutip pelbagai jenis ikan selepas sebuah pacuan empat roda yang sarat dengan muatan itu, terjunam ke dalam sungai di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, pemandu lelaki berumur 31 tahun bagaiamanapun berjaya keluar selepas hanya mengalami cedera ringan manakala rakannya parah apabila tersepit di bahagian kerusi penumpang.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kunak itu dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar lebih 1.5 tan ikan untuk dijual di pasar ikan dekat pusat bandar di sini.
Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Khaidar Khan, 50, berkata, sebaik selesai menunaikan solat subuh, dia melihat pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax (Single Cab) itu dipandu laju.
"Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat dan nampak kereta rempuh penghadang besi jalan di atas jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai.
![]() |
Pasukan Bomba membawa mangsa yang cedera ke hospital. |
Sementara itu, tinjauan mendapati penduduk kampung tidak melepaskan peluang mengutip pelbagai jenis ikan itu selepas mendapat izin dan kebenaran daripada pemilik sebaik kenderaan terbabit berjaya di bawa keluar dari dalam sungai menggunakan khidmat kereta tunda.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.29 pagi.
"Pemandu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan manakala penumpangnya cedera sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans KKM untuk rawatan lanjut," katanya memaklumkan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.04 pagi.