![]() |
Mangsa yang parah dibawa ke hospital menggunakan ambulan namun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. |
TAWAU : Penumpang pacuan empat roda yang membawa muatan ikan sebelum terjunam ke dalam sungai di Batu 2 Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 5.20 pagi tadi, dilaporkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa Mohd Azrul Shah Abraham, 31, yang juga penumpang hadapan kenderaan jenis Isuzu Dmax (Single Cab) itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Tawau.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama pemandu kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Jalan Apas menuju ke Pasar Ikan Tawau dengan membawa muatan pelbagai jenis ikan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai telah memandu dengan laju menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai.
"Pemandu terbabit yang hanya cedera ringan bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala mangsa yang tersepit dan mengalami kecederaan parah dikeluarkan pasukan Bomba sebelum kedua-duanya dibawa ke hospital menggunakan ambulan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, pemandu berumur 31 tahun itu kini tahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian,"
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.29 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
Katanya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diserahkan kepada ambulan sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.04 pagi.