
PUTATAN: Pembinaan dan penambahbaikan jejantas pejalan kaki di Petagas, di sini bakal memberi impak terhadap peningkatan keselamatan kepada masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, perancangan berkaitan pembinaan jejantas itu telah bermula tahun lalu dan ia kini diberikan keutamaan.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kerja Raya negeri itu menjelaskan pembinaan jejantas terbabit merupakan penambahan struktur sedia ada.
“Dalam bajet Negeri Sabah tahun 2025 yang telah diluluskan baru-baru ini telah dimasukkan perancangan untuk membina jejantas dikawasan tersebut.
“Saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi di Kampung Muhibbah, Putatan, di sini, hari ini .
Sementara itu, Shahelmey yang juga merupakan Ahli Parlimen Putatan berkata lawatan tersebut adalah sebagai tanda prihatin beliau diatas apa yang telah berlaku terhadap musibah yang melanda.
“Tujuan kita untuk mengadakan ziarah adalah untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa serta melihat dan mendengar keadaan salah satu mangsa yang terlibat” jelasnya.
Difahamkan mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital.
Selain Shahelmey, turut hadir memberi sumbangan semasa ziarah tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia; Datuk Che Murad Sayang, Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah; Ir. Mohd Safri Abdul Habi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah; Jais Asri.
Baru-baru ini, media melaporkan kemalangan membabitkan keretapi dari arah Beaufort ke Kota Kinabalu dan pejalan kaki di Putatan pada Selasa lalu yang telah mengorbankan nyawa seorang wanita iaitu Lena Gabin, 41.
Manakala anak lelakinya yang berusia 11 tahun parah dan masih menerima rawatan di hospital.