Kerjasama politik untuk pilihanraya negeri harus dibincang bersama PKR Sabah, bukan di pusat


 

KOTA KINABALU: Barisan Nasional atau mana-mana parti seharusnya berbincang bersama PKR Sabah berhubung dengan kerjasama pilihanraya negeri, kata Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin.

“PKR Sabah mempunyai autonomi sendiri. Sesiapa yang ingin bekerjasama dengan kami mesti datang dan bertemu terus dengan kami.

“Kami yang membuat keputusan, dan kami tahu siapa yang paling sesuai untuk bekerjasama. Jika Barisan Nasional (BN) berminat untuk bekerjasama dengan kami, mereka dialu-alukan.

“Kami tidak mahu keputusan dibuat tanpa pengetahuan kami; kami perlu dihormati di sini. Perbincangan tidak seharusnya hanya berlaku di peringkat atasan," katanya semasa sidang media di sini.

Minggu lepas, Ketua BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa PN dan PH telah memuktamadkan kerjasama bagi pilihan raya negeri yang akan datang.

Razeef menyatakan bahawa PKR Sabah selesa bekerjasama dengan GRS di peringkat negeri dan BN di peringkat persekutuan.

Namun setakat ini, tidak ada sebarang perbincangan rasmi dan tidak rasmi antara PKR dan mana-mana parti lain.

Mengenai potensi kerjasama dengan Parti Warisan, beliau menyuarakan keraguan kerana kenyataan-kenyataan pemimpin Warisan sebelum ini yang kelihatan menyerang Pakatan Harapan.

Menjawab pandangan pemangku president Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam mengenai kepentingan parti tempatan bertanding lebih banyak kerusi untuk mengelakkan dominasi luar, beliau berkata pembahagian kerusi yang adil perlu diutamakan.

Beliau menambah bahawa pada pilihan raya lepas, PH telah memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti tempatan yang dominan.

“Kami berharap pengagihan yang sama rata — realistik dan adil untuk semua parti.”

Beliau turut menyatakan bahawa PKR Sabah bersedia untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan rundingan kerusi antara komponen Pakatan Harapan hampir selesai.

Pengagihan itu melibatkan PKR, DAP, Amanah, dan Upko.

“Sebaik sahaja kami memuktamadkan siapa yang mendapat kerusi, rundingan dengan parti lain akan diteruskan.”

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama