Ganggu saksi pendakwaan, Hakim beri amaran



TAWAU: Hakim Datuk Duncan Sikodol yang mengendalikan perbicaraan kes bunuh membabitkan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberi amaran kepada keluarga tertuduh agar tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.

Amaran itu dikeluarkan berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif yang memaklumkan saksi pendakwaan beliau diganggu secara lisan oleh ahli keluarga tertuduh ketika menuruni tangga semasa keluar dari mahkamah selepas prosiding pendengaran selesai, pada petang Selasa.

Bagaimanapun katanya, saksi berkenaan tidak dapat mengenalpasti identiti pelaku berkenaan memandangkan terdapat ramai individu ketika kejadian yang berlaku secara terbuka di kawasan awam.

Nur Nisla menjelaskan, satu laporan polis dibuat saksi berkenaan kerana khuatir akan keselamatan dirinya, memandangkan beliau bukan berasal dari daerah Tawau.

Tambahnya lagi, kejadian sama turut menimpa seorang lagi saksi pendakwaan hari ini iaitu ibu mangsa ketika sedang menunggu giliran untuk diambil keterangan turut memaklumkan bahawa beberapa ahli keluarga tertuduh telah mendekatinya dan ada di kalangan mereka menunjuk ke arah abangnya yang hadir mengiringi beliau di mahkamah.

"Yang Arif, memandangkan perbicaraan kes ini baharu sahaja bermula dan ramai ahli keluarga tertuduh hadir samada di dalam galeri awam ataupun menunggu di luar, saya mohon agar amaran diberikan supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

"Hal Ini kerana, pihak pendakwaan tidak boleh mengawal mana-mana orang atau individu untuk menghadiri prosiding perbicaraan kes ini," katanya.

Susulan itu, Duncan kemudiannya memberi amaran dan peringatan kepada ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam bahawa perkara tersebut (mengugut saksi) merupakan satu kesalahan serius selepas laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

"Kalau perkara ini diterima oleh mahkamah sekali lagi, saya akan buat arahan tiada seorang pun (keluarga) yang boleh datang ke mahkamah dan tidak boleh datang ke Tawau sepanjang tempoh perbicaraan.

"Tolong beritahu saudara-saudara yang ada di luar... kalau ada yang buat, kamu semua tidak akan dibenarkan datang ke mahkamah," tegasnya.

Prosiding perbicaraan kes itu memasuki hari keempat hari ini yang menyaksikan lima saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan setakat ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama