![]() |
Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Tawau kira-kira pada jam 7.15 malam di taman perumahan Jalan Utara Baru. |
TAWAU: Tindakan lima individu termasuk dua wanita menjadikan sebuah rumah sebagai sarang dadah terbongkar apabila diserbu sepasukan polis di taman perumahan Jalan Utara Baru, di sini, semalam.
Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Tawau kira-kira jam 7.15 malam itu, semua suspek berusia lingkungan 32 hingga 48 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat risikan sebelum tindakan serbuan dilakukan.
Katanya, hasil maklumat risikan, dipercayai beberapa individu sedang melakukan jenayah berkaitan dadah di dalam sebuah rumah yang dikenal pasti sarang penagih dadah.
“Ketika serbuan dibuat, didapati tiga lelaki dan dua wanita disyaki terlibat penagih dadah berada di dalam rumah berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui dua paket plastik jernih berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, turut ditemui bersama peralatan menghisap syabu diletakkan di atas meja berhampiran tempat semua suspek berkumpul.
“Semua suspek kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952
“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati semua suspek pernah disabitkan dengan pelbagai jenis kesalahan termasuk rekod jenayah dadah,” katanya.