![]() |
Lelaki dikehendaki polis kerana mencuri, berjaya diberkas |
TAWAU: Seorang lelaki yang dikehendaki polis bersabit kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun keseksaan, iaitu mencuri berjaya diberkas oleh pihak polis di Batu 2, Jalan Apas, pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira pukul 8.30 pagi selepas mendapat maklumat awam.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Batu 2, Jalan Apas dan memberkas seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 48 tahun selepas mendapat maklumat awam,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas pakaian yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah tersebut.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai empat kesalahan lampau iaitu dua kes berkaitan jenayah dan dua kes lagi melibatkan dadah serta merupakan Orang Dikehendaki Polis," katanya.
Mengulas lanjut, sebelum ini pihak polis menerima satu laporan dari seorang usahawan kedai tudung mengatakan tudung yang digantung untuk dijual di dalam kedai telah berkurangan dan mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM600.
Katanya, hasil pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup CCTV mendapati, terdapat seorang suspek lelaki yang tidak dikenali telah mengambil beberapa helai tudung yang digantung di rak gantung hadapan kedai sebanyak dua kali dan terus beredar.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan dalam usaha mendapatkan semula barang yang telah dicuri dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan.