![]() |
Verdon (kiri) semasa bertemu Hajiji (kanan) baru-baru ini |
KUDAT: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan komitmennya dalam usaha untuk menyelesaikan isu pertikaian tanah adat di Bengkoka dan Pitas.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda dalam pertemuannya bersama Hajiji baru-baru ini.
"Perbincangan utama kita adalah mengenai kesan buruk pencerobohan korporat ke atas tanah adat di kedua wilayah ini.
"Aktiviti-aktiviti itu telah mengganggu kehidupan masyarakat asli tempatan, yang bergantung kepada tanah ini dalam sebagai tempat mata pencarian rezeki mereka," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Verdon turut memperbaharui gesaan untuk projek pembangunan Pelabuhan Kudat yang telah lama tertangguh.
"Pada mulanya ia sudah dicadang sejak sedekad lalu, di mana projek itu bertujuan untuk menaik taraf Pelabuhan Kudat menjadi pelabuhan antarabangsa dan mewujudkan taman perindustrian yang lebih besar untuk meningkatkan keupayaan perindustrian rantau ini.
"Pembangunan ini adalah penting untuk mengatasi batasan semasa yang dihadapi oleh Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan untuk memacu pertumbuhan industri di kawasan itu.
Sementara itu, bagi merangsang kemajuan ekonomi, Verdon turut mencadangkan untuk zon ekonomi khas baharu ditubuhkan di Kudat.
"Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan pengambilan tanah melalui perjanjian langsung antara pemilik tanah, sama ada memegang Hakmilik Asli atau Pajakan Negara, dan pelabur, sekali gus mengurangkan keperluan untuk kerajaan campur tangan.
"Dengan menggalakkan rundingan terus di kalangan pihak berkepentingan, cadangan itu bertujuan untuk memacu pembangunan sambil menjaga hak tanah asli dan masyarakat Kudat amnya.
"Inisiatif itu dijangka meningkatkan pendapatan tempatan, mengurangkan tekanan ekonomi ke atas konstituen Kudat, dan meningkatkan hasil negeri," jelasnya lagi.
Tambah Verdon, Ketua Menteri juga menyatakan sokongannya terhadap pendekatan itu dengan menekankan lokasi strategik Kudat di sepanjang Laut China Selatan dan Laut Sulu yang menjadikannya ideal untuk pelbagai industri ekonomi biru dan hijau.
"Zon ekonomi yang dicadangkan itu diunjur menggiatkan pelbagai sektor di Kudat, berpotensi mengurangkan kemiskinan serta mempercepatkan pembangunan wilayah," katanya.
Verdon mengulangi komitmennya dengan menggesa rakyat di kawasan itu untuk berhubung terus dengannya selain menolak kebergantungan terhadap khabar angin yang tidak berasas.
Beliau mengulangi sokongan penuh kepada Ketua Menteri dan Kabinet Negerinya yang berkemampuan.
Verdon pada masa sama memuji Ketua Menteri atas komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan ekonomi negeri dan kerana serius mempertimbangkan cadangan itu.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan Ketua Menteri, kemajuan besar akan dicapai dalam menangani cabaran dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah utara Sabah.