KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyokong penuh inisiatif Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) untuk mencari pelabur bagi memajukan industri perikanan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM Hajah Khaironnesak Omar berkata, bagaimanapun perkara itu perlu dilaksanakan berdasarkan peraturan sedia ada.
"Perkara ini perlu mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Agung, selepas lulus, perlu lagi mendapat kelulusan dari pejabat pendaftar.
"Ini bagi membolehkan kita melihat sendiri kesesuaian pelaburan dalam usaha menjaga kebajikan Persatuan Nelayan Kawasan negeri ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 25 PENGASAH di sini, semalam.
Sementara itu Pengerusi PENGASA Datuk Haji Dr. Arsit Haji Sedi berkata, pihaknya yakin mampu menarik pelabur dari China dan Korea bagi tujuan perikanan laut dalam.
"Saya akan membawa cadangan ini untuk mendapat kelulusan dalam mesyuarat agung agar usaha ini akan diangkat sebagai satu pelaburan yang dinamik.
"Kita sudah berbincang dengan pihak pelabur bahawa kita tidak akan keluarkan peruntukan tetapi akan menyediakan kemudahan yang diperlukan," katanya.
Katanya, dalam kemudahan diperlukan bagi merealisasikan pelaburan berkenaan, PENGASAH akan meminta sedikit 'share' yang bertujuan bagi meneroka khazanah lautan dalam.
Katanya, sehingga kini hanya 52 syarikat dibenarkan untuk melakukan aktiviti tangkapan ikan laut dalam.
"31 syarikat adalah dimiliki pengusaha Vietnam dan bakinya adalah dari negeri ini. Oleh itu, adalah wajar untuk kita membawa pelaburan dari China dengan mengenakan peraturan yang ketat.
"Mereka wajib menjaga kepentingan kebajikan nelayan persisir pantai dan mengamalkan tangkapan terkawal.
"Saya berharap pelabur bukan sahaja memainkan peranan utama membangunkan ekonomi Sabah tetapi mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan yang boleh membantu Persatuan Nelayan Kawasan dalam negeri ini," katanya.
Beliau berkata, pelabur ini hanya akan meneroka di kawasan perairan antarabangsa, apa juga tangkapan mereka, hasil berkenaan akan dibawa balik ke Sabah dan diproses di negeri ini sebelum dieksport semula ke negara berkaitan.
Katanya, usaha seumpamanya secara tidak langsung akan mencipta peluang kepada kerajaan negeri untuk mengutip pendapatan.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Datuk Haji Mohamad Dolmat dan Pengarah LKIM Sabah Jamil Abdullah.
Sumber: Utusan Borneo