SEMPORNA: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas sendiri dan jatuh ke dalam parit di Jalan Sigalong Golf Country Club, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.56 pagi.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa yang berumur 30 tahun itu masih berada di dalam keretanya.
“Mangsa didapati mengalami kecederaan dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan segera,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS, sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Rastam berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat untuk pemandu lain, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10 pagi.
Sumber: Utusan Borneo