Kerajaan Perlu Ambil Berat Terhadap Penyusutan Harga Getah

Masiung Banah

TONGOD: Kejatuhan nilai komoditi harga getah sekerap sehingga RM2.50 sekilogram merupakan penyusutan terendah dalam sejarah negara dalam tempoh 20 tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, kerajaan tidak boleh melihat sebelah mata perkara ini kerana merujuk harga lantai sekarang, RM2.50 sekilogram ditetapkan Kementerian Perusahan Perladangan dan Komuditi (KPPK) tidak pernah disemak sejak tujuh tahun lalu.

"Ia dilihat sebagai diskriminasi kepada pekebun kecil getah, sedangkan harga bahan kimia melibatkan komuditi itu seperti racun rumpai, baja dan cuka getah telah melambung naik hampir 100 peratus.

"Lebih parah lagi pendapatan kecil penoreh getah turut diselubungi dengan kos sara hidup semakin tinggi pada masa ini," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau menggesa kerajaan negeri dan persekutuan meningkatkan harga lantai baharu getah sekerap sehingga RM3.50.

Katanya, kerajaan juga perlu melanjutkan Bantuan Musim Tangkujuh (BMT) dalam penyediaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil berat terhadap penyusutan harga komuditi ini kerana getah merupakan penyumbang eksport keenam terbesar negara.

Masiung memberi amaran, jika kerajaan tidak melihat isu ini dalam penyediaan Bajet 2023 sudah pasti warga pekebun getah rasa terabai, sekali gus mempengaruhi politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar berkata, ekoran kejatuhan harga getah sekerap, kini ramai pekebun kecil getah telah beralih kepada komuditi lain.

"Jika isu ini berterusan pengeluaran eksport getah negara akan terus merundum sebagai pengeluar utama getah asli dunia.

"Bagi mengelakkan lebih ramai pekebun getah beralih ke bidang lain, kerajaan perlu mengilhamkan formula baharu untuk menaikan harga lantai komuditi itu," katanya.

Dalam pada itu, Masiung mahukan agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengambil tanggungjawab terhadap kejatuhan harga komuditi berkenaan.

Sumber: Utusan Borneo

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama