KBSS teroka peluang kerjasama bersama Prasarana Rapid Bus

KUALA LUMPUR: Kunjungan Korporat Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) ke syarikat pengendali pengangkutan awam terkemuka negara, Rapid Bus Sdn. Bhd. di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan pada jumaat lepas membuka ruang jalinan kerjasama antara KBSS dan syarikat Prasarana Malaysia Berhad dalam menerokai peluang pembangunan kerjaya kepada belia Sabah khususnya dalam bidang pengangkutan awam.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, YB Andi Suryady bin Bandy bersama pegawai KBBS disambut oleh Tuan Muhammad Yazurin Muhammad Yasin, CEO Rapid Bus dan seterusnya dibawa melawat sekitar Kompleks Rapid Bus seperti di pusat simulasi pemanduan dan bilik pameran komponen kenderaan. 

YB Andi turut berpeluang mencuba simulasi pemanduan bas yang mampu memberi pengalaman seperti pemanduan Rapid Bus yang sebenar. 

"Saya amat berpuas hati dengan sistem dan kemudahan yang dimiliki oleh Rapid Bus dan yakin usahasama akan memberi manfaat menang-menang kepada kedua belah pihak." Katanya.

Berdasarkan reputasi korporat yang dimiliki oleh Prasarana selaku pengendali pengangkutan awam negara, sudah pasti banyak yang boleh dimanfaatkan oleh KBSS. Rapid Bus menyediakan program latihan yang berstruktur, penajaan penuh pengambilan lesen dan latihan serta pelbagai caudatan dan faedah perkhidmatan termasuk liputan kesihatan, hostel, kenaikan gaji tahunan, insentif dan lain-lain.

Selaras dengan pembukaan laluan MRT Putrajaya yang dijangka akan dilancarkan dalam jangka masa terdekat, Rapid Bus memerlukan tidak kurang dari 1,000 Kapten Bas sehingga tahun 2023 untuk memenuhi keperluan operasi servis bas henti-henti di Lembah Klang. Rapid Bus turut merancang program pengambilan Kapten Bas bagi anak jati Negeri Sabah dalam masa terdekat.

Kunjungan tersebut turut diwakili pegawai KBSS iaitu Encik Mohd. Zikri Zainudin, SUK Majlis Pembangunan Belia Negeri Sabah dan Puan Rumaizah Ajmain, Penolong Setiausaha (Khidmat Pengurusan).




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama