76 Badan Berkanun Negeri, GIC Diarah Tubuh IGU Dalam Tempoh Tiga Bulan


KOTA KINABALU
: 76 Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) diarahkan untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) dalam tempoh tiga bulan sehingga Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan penubuhan unit itu penting berikutan hanya sembilan daripada 85 Badan Berkanun Negeri dan GIC yang menubuhkan unit itu setakat ini.

“76 lagi Badan Berkanun Negeri dan GIC yang belum menubuhkan IGU diminta untuk mengambil perhatian serius sehingga Disember tahun ini untuk menubuhkan unit berkenaan di agensi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti Negeri Sabah di Auditorium Utama Menara Kinabalu di sini semalam.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Sembilan Badan Berkanun Negeri dan GIC yang sudah menubuhkan unit berkenaan termasuklah Lembaga Industri Getah Negeri Sabah, Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA), Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Perbadanan Pinjaman Sabah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd. (SUDC), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan pada 12 November 2019 kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terkini dirujuk sebagai GIC untuk menubuhkan IGU dalam tempoh dua tahun daripada tarikh arahan dikeluarkan.

Hajiji berkata penubuhan unit ini penting agar budaya kerja berintegriti diamalkan dalam perkhidmatan dengan telus, tiada kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa dan patuh kepada peraturan serta undang-undang yang berkuatkuasa.

“Tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya oleh 20,920 penjawat awam negeri dan 107,097 Persekutuan di Sabah yang dituntut oleh kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia di Sabah.

“Ketirisan integriti yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan seharusnya tidak berlaku sekiranya semua inisiatif kerajaan dan budaya kerja berintegriti dipatuhi,” katanya.

Hajiji turut mengarahkan semua 17 Jabatan Ketua Menteri membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) manakala kesemua 11 kementerian berjaya membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing.

“Saya mahu semua jabatan, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri yang belum membangunkan Pelan Antirasuah diberikan tempoh sehingga bulan Disember 2023.

“GIC digalakkan untuk membangunkan Pelan Antirasuah dan mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System (ABM),” katanya.

Beliau berkata status pembangunan Pelan Antirasuah dan pelaksanaan ABMS perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri selain kesemua Ketua Jabatan harus memainkan peranan proaktif bagi memastikan agensi di bawah kawalan masing-masing membangunkan Pelan Antirasuah.

Katanya dalam usaha mengekang ketirisan hasil Kerajaan Negeri dari terus berlaku, satu Pasukan Petugas Khas (Task Force) yang terdiri daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Malaysian Palm Oil Berhad dibentuk bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar sebelum ini.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri sudah memulakan inisiatif Menyelesaikan Isu-Isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasil inisiatif ini sebanyak 63 daripada 116 isu teguran audit berjaya diselesaikan sepanjang tempoh Januari 2021 hingga 25 Ogos tahun ini.

Penganjuran Hari Integriti Negeri Sabah adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) (2021-2025) dan sempena sambutan itu, Ketua Mehteri turut melancarkan Buku Semakan Semula Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri (PAR JKM) 2019-2023.

Buku Semakan Semula ini mengandungi 20 inisiatif yang telah ditambah baik seiring dengan hala tuju dan agenda kerajaan ke arah pengukuhan integriti, antirasuah dan tadbir urus baik.

Sumber: Utusan Borneo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama