TAWAU : Seramai 160,734 pelajar telah berjaya mendapat tempat di Institusi Pendidikan dan Kemahiran Tinggi termasuk Universiti Awam di bawah Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) sejak tahun 2016 sehingga 2018.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, inisiatif seperti ini amat bermanfaat apabila ramai anak-anak belia Keluarga Malaysia yang tercicir mengambil peluang hadir bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada institusi pendidikan yang menawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berharap agar Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia pada kali ini akan membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk pelajar terutama dari luar bandar dan pedalaman dari seluruh pelusuk tanahair khusunya di daerah Tawau ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,"katanya.
"Saya juga bersyukur apabila kerajaan sentiasa mengamalkan prinsip “tiada golongan yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat”. Kerajaan telah memberikan fokus yang jitu terhadap pemerkasaan pendidikan kepada masyarakat tidak kira anak-anak pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar," Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia 2022, peringkat Parlimen Tawau, di sini, semalam.
Suryady yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, pada tahun ini program Jelajah Pendidikan keluarga Malaysia (JPKM) mendapat sambutan memberangsangkan selepas dimulakan kembalik apabila tergendala akibat negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
Setakat ini, JPKM 2022 yang dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional telah membantu lebih 25,000 golongan sasar terutama pelajar yang kurang berkemampuan dan penduduk luar bandar dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. - Sabah Info