KENINGAU: Para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diharapkan terus bersemangat serta mencetuskan inspirasi dan teladan kepada seluruh warga pendidik di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata, beliau percaya warga pendidik Keningau akan untuk terus bersama-sama memberikan perkhidmatan berimpak tinggi, cemerlang dan berintegriti.
Beliau juga percaya, pengiktirafan itu dapat meningkatkan sekali gus menambah baik perkhidmatan secara berterusan dalam menjayakan agenda transformasi perkhidmatan awam dan pendidikan negara.
"Saya mendoakan semoga warga pendidik sekalian terus beristiqamah dan beriltizam dalam menghadapi segala cabaran dan kemungkinan, kerana untuk melakukan perubahan, keazaman yang tinggi diperlukan demi menyempurnakan tanggungjawab yang sama-sama kita pikul sebagai satu pasukan.
"Syabas saya ucapkan kepada penerima APC, kekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen yang telah ditunjukkan selama ini dan teruskan mendokong usaha kerajaan ke arah kemakmuran serta kesejahteraan rakyat, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis APC 2021 PPD Keningau di sini pada Rabu.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turut berharap tingkah laku yang utuh dan tahap disiplin penjawat awam yang tinggi akan terus menjadi pegangan demi menjayakan inisiatif kerajaan dalam bidang pendidikan.
Katanya, amalan budaya kerja cemerlang mampu menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti sekali gus memberi impak kepada kemajuan di masa hadapan dengan lebih produktif setanding negara-negara maju lain.
Pada majlis itu, seramai 233 pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Sokongan dalam bidang pendidikan di Keningau menerima Anugerah pengiktirafan atas prestasi kerja cemerlang.