Mahasiswa Berilmu Asas Kemajuan Sesebuah Negara



MAHASISWA: Majlis Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)

KOTA KINABALU: Mahasiswa perlu membuktikan bahawa mereka boleh menjadi generasi yang mampu memainkan peranan dalam pembangunan negara pada masa akan datang.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata asas kemajuan sesebuah negara adalah memiliki belia yang mempunyai ilmu pengetahuan, pendidikan dan tarbiyah.

Katanya, kerajaan telah memainkan peranan dalam membantu memudahkan mahasiswa menuntut ilmu, antaranya bantuan wang tunai di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

“Mahasiswa hanya perlu melangkah ke hadapan tanpa rasa takut agar sentiasa meletakkan diri mereka dalam pembangunan negara.

“Mereka harus peka dengan isu semasa supaya boleh menjadi generasi yang mampu membantu negara dan memimpin pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pendekatan untuk mendekati belia khususnya mahasiswa adalah dengan cara mengikut keadaan semasa seperti menggunakan aplikasi TikTok dan Instagram.

“Antara resolusi yang telah dibincangkan juga adalah meletakkan anak muda dalam majlis belia di setiap platform negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata peranan mahasiswa sangat diperlukan bagi membantu menjayakan setiap agenda negara.

“Mahasiswa disaran untuk mencari ilmu sebanyak mungkin supaya mereka boleh berdikari dan berdiri di kaki sendiri, seperti pepatah ‘dicampak di laut menjadi pulau, dicampakkan di darat akan jadi bukit’.

“Menerusi pengetahuan yang dimiliki oleh setiap mahasiswa membolehkan mereka terus menjadi aset yang boleh membangunkan negara kelak,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik merangkap penyelaras program, Dr Aliakbar Gulasan.

Terdahulu, majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Pengkaji Budaya Intelek Sabah (IKSAS) di Sabah dengan kerjasama Institut kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Gabungan Mahasiswa Islam Sabah (GAMIS SABAH), Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), Sinergi Siswa Pendidik Islam (SSPI), Persatuan Siswazah Sabah (PSS), Sabah Relief, Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kanak-kanak Sepanggar (PERKEPS) dan Yayasan Permata Ummah.

Sumber: Utusan Borneo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama