![]() |
Kredit Foto: FB Ketua Menteri Sabah |
KOTA MARUDU: Kerajaan negeri meluluskan sebanyak 51 geran tanah adat membabitkan tanah berkeluasan 98 hektar untuk penduduk di kawasan Bandau di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu membuktikan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) sentiasa peka terhadap keperluan rakyat.
Katanya, kelulusan berkenaan diberikan kepada penduduk Bandau dan langkah yang sama akan dilakukan untuk kawasan lain di Kota Marudu tidak lama lagi.
Menurutnya, kerajaan turut bersetuju supaya tujuh penempatan di dalam kawasan tanah Sawit Kinabalu di sini supaya diberi hak milik dan diwartakan sebagai rizab kampung.
"Kampung-kampung berkenaan termasuk Kampung Bukit Lalang, Bengkongan, Langkon Baru, Minansad, Sungoi Laut, Tonsom, Muhibbah, dan Toporoi.
"Dua kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau turut diwartakan sebagai rizab kampung iaitu Kampung Torintidon (11.490 hektar) dan Kampung Asin-Asin (10.190 hektar)," katanya sempena Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk memperluaskan jalan raya berkembar di pekan Kota Marudu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Selain itu katanya, turut diluluskan peruntukan berjumlah RM1.6 juta untuk membina jambatan paip sepanjang 100 meter di Kampung Simpangan Sungai Bandau bagi menangani masalah bekalan air di daerah ini.
Beliau sempat melawat Loji Rawatan Air Bandau di Kampung Simpangan dekat sini dan diberi taklimat oleh jurutera daerah mengenai rancangan jangka pendek dan panjang untuk menyelesaikan masalah bekalan air.
“Semoga prasarana itu dapat membantu menangani masalah bekalan air di daerah ini.
"Saya sudah bercakap dengan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili (Ahli Parlimen Kota Marudu) semalam dan saya memberi jaminan kepadanya bahawa semua permintaan pembangunan akan dipertimbangkan," katanya.
Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahanda; ADUN Tandek Hendrus Anding; Pegawai Daerah Kota Marudu Alexander Yong; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Bernard Liew; serta Pengarah Urusan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie.
Sumber: Utusan Borneo