Sabah FC Tewaskan Melaka United 2-1 Semalam


KOTA KINABALU
Amri Yahyah sekali lagi menjadi wira apabila meledak dua gol sekali gus membantu Sabah bangkit menewaskan Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kedua-dua gol dijaringkan Amri pada separuh masa kedua, masing-masing pada minit ke-65 dan ke-90, sekali gus menghampakan harapan Melaka untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.

Amri yang baru dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Stuart John Wilkin berjaya mencipta jaringan pertama pada minit ke-65 hasil hantaran Alto Linus, manakala jaringan keduanya dicipta melalui hantaran Muhammad Farhan Roslan.

Terdahulu, Melaka mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol tunggal melalui pemain importnya, Ifedayo Olusegun yang membuat susulan selepas bola ditepis Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-23.

Sabah turut berdepan situasi sama, namun kemasukan Amri dan beberapa pemain muda pada separuh masa kedua sedikit mengubah situasi apabila skuad Sang Badak dilihat lebih menguasai perlawanan sehingga berjaya menyamakan kedudukan dan meledak gol kemenangan.

Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain iaitu Ahmad Haziq dari Melaka dan Rawilson Batuil dari Sabah FC dilayangkan kad merah kerana bermain secara agresif.
 

Sumber:--BH Online


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama