
KINABATANGAN: Jasad seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya di Kampung Tanjung Bulat, di sini semalam, sudah ditemui hari ini .
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa Norsila Sayong, 32, sedang memancing di tebing anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.42 petang.
Katanya, lima anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berkenaan, bagi operasi menyelamat.
“Mangsa dilaporkan memancing bersama keluarganya di tebing sungai di kampung berkenaan ketika kejadian.
“Mangsa kemudiannya disambar dan ditarik ke dalam air sebelum dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Mangsa, Norsila Sayong, 32, ditemui penduduk kampung bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR), 6.35 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pada awal pagi tadi penduduk kampung yang turut menyertai SAR terdengar pergerakan reptilia tersebut sebelum memaklumkan bomba.
"Pasukan Sar Kemudiannya bergerak ke lokasi dilaporkan sebelum menemui tubuh mangsa dalam keadaan kurang sempurna.
"Lokasi penemuan kira-kira 800 meter dari tempat mangsa dilaporkan disambar buaya.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi,hari ini.
Difahamkan, mangsa cuba menyelamatkan ibunya daripada disambar buaya.