KOTA KINABALU: Pertukaran portfolio di antara Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun hasil persetujuan semua pihak.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor berkata, Bung dilantik sebagai Menteri Kerja Raya manakala Masidi sebagai Menteri Kewangan II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Terdahulu semasa Majlis Angkat Sumpah di hadapan yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Bung menerima pelantikan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Masidi sebagai Menteri Kerja Raya.
Hajiji berkata, perubahan pada saat akhir itu adalah hasil persetujuan semua pihak dan tidak timbul isu ada pihak yang tidak berpuas hati.
Menurutnya, berikutan ada pertambahan kerja untuk satu kementerian, justeru pihaknya membuat perubahan berkenaan.
"Pelantikan Masidi sebagai Menteri Kewangan II kerana saya memerlukan khidmat beliau terutama untuk memulihkan ekonomi Sabah dalam menghadapi pandemik COVID-19.
"Tiada masalah dalam pertukaran ini, cuma saya mahu bantuan Masidi kerana latar belakang dan pengalamannya dalam bidang kewangan serta ekonomi.
"Justeru, beliau diperlukan untuk membantu terutama dalam kita berdepan dengan COVID-19 serta keadaan ekonomi yang agak kurang baik," katanya pada sidang media di sini semalam.
Selain itu jelasnya, pelantikan lima orang lagi menteri yang lain untuk mengangkat sumpah akan dibuat dalam masa terdekat bersama senarai pembantu menteri.
Menurutnya, pelantikan berkenaan akan dibuat menerusi perbincangan bersama rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pihaknya yakin dapat melaksanakan tugas yang terbaik untuk mentadbir Sabah.-