![]() |
OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamatkan mangsa kemalangan. |
RANAU: Seorang pemandu maut selepas kenderaan dinaiki dirempuh dari arah bertentangan semasa memotong kenderaan di hadapan di Kampung Nunuk Ragang Kilometer 40 Jalan Ranau-Telupid di sini.
Mangsa warga tempatan berumur 18 tahun adalah seorang pelajar lelaki di sebuah kolej dan disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi.
Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Sammy Newton berkata kejadian jam 1.50 petang itu berlaku apabila mangsa memandu kereta jenis kompak dari arah Telupid menuju ke Kota Kinabalu.
“Mangsa kemudiannya memotong kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama sebuah kereta pacuan empat roda yang ada di laluan bertentangan terbabit tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta mangsa,” katanya.
Menurutnya impak pelanggaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.
Tambahnya pemandu dan penumpang kereta pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-oleh