SANDAKAN: Seekor monyet Proboscis atau dikenali monyet bangkatan oleh penduduk tempatan yang cedera dipercayai dilanggar kenderaan, diselamatkan di tepi Jalan Bambangan Seguntur Batu 11, pagi kelmarin.
Bagaimanapun, akibat kecederaan serius yang dialami, keputusan dibuat untuk eutanasia terhadap haiwan berkenaan bagi menghentikan kesengsaraan dialami.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan Hussien Muin berkata pihaknya menerima aduan melalui telefon dari seorang Pegawai Kanan Kerajaan yang kebetulan melalui kawasan kejadian kira-kira jam 8 pagi hari Rabu.
“Kakitangan Penyelamat Hidupan Liar (WRU) telah diarahkan ke lokasi pada hari yang sama,” katanya.
Beliau berkata monyet bangkatan jantan dewasa itu diterima oleh pihak Klinik Sepilok selepas diselamatkan oleh renjer WRU.
“Hasil pemeriksaan mendapati mendapati monyet bangkatan tersebut dalam keadaan lemah dan mengalami pendarahan banyak, mempunyai luka pada kaki dan tangan patah pada bahagian tempurung lutut kiri dan ibu jari kiri.
“Rawatan segera telah diberikan ke atas monyet tersebut, namun kecederaan dan pendarahan yang dialami sangat serius dan peluang untuk ia hidup sangat tipis, lalu keputusan untuk eutanasia telah dibuat,” katanya.
Hussien berkata ianya dilakukan bagi menghentikan kesengsaraan yang dialami oleh bangkatan tersebut.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan supaya berhati-hati dan prihatin untuk mengelak kejadian seumpama berulang.
“Pihak JHL akan mengambil tindakan segera bagi memasang papan tanda amaran haiwan melintas jalan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan di mana haiwan tersebut akan melintas tanpa sebarang amaran,” katanya.- Yusop Teppo