Lelaki Didakwa Bersubahat Rompak Wanita

 

GAMBAR HIASAN

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat melakukan rompakan terhadap seorang wanita di hadapan sebuah kedai serbaneka.

Azlan Sulaiman, 34, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Dia dituduh bersubahat dengan dua rakannya yang masih bebas dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis kompak yang dipacukan setelah salah seorang rakannya merompak Suraynie Nordin, 29.

Azlan didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada jam kira-kira 9.15 malam pada 2 September di kawasan parkir, hadapan kedai serbaneka di sini.

Kesalahan itu adalah di awah Seksyen 107 (c) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 392 Kanun yang sama dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 19 Oktober tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan memerintahkan Azlan untuk ditahan lanjut sehingga tarikh berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip hadir untuk pendakwaan sementara Azlan tidak diwakili peguam.-Safrah Mat Salleh


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama