Kluster Jalan Bomba Bukan Kluster Dalam Balai Bomba Sandakan

 

MARTIN

SANDAKAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sandakan menafikan ada berlakunya kluster baharu dalam Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Ketua JBPM Zon Sandakan, Penguasa Bomba Martin Thomas berkata, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan serta anggota bomba secara individu telah menerima panggilan serta mesej pesanan ringkas daripada orang awam, keluarga serta rakan kenalan menanyakan tentang Kluster Jalan Bomba.

Beliau menegaskan Kluster Jalan Bomba bukannya dari anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.
 
"Pihaknya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani penularan COVID-19 di kawasan Balai Bomba dan Penyalamat Sandakan," katanya.

Martin meminta pihak berwajib agar menyatakan secara terperinci Kluster Jalan Bomba yang dimaksudkan agar tidak timbul kekeliruan masyarakat terhadap perkara ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya masih lagi menjalankan operasi sanitasi atau nyah kuman di tempat-tempat yang diarahkan oleh pihak berkuasa.

 
"Operasi itu dilaksanakan dengan SOP yang ketat bagi memastikan keselamatan anggota yang bertugas," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya telah menyebut pihak KKM telah mengenal pasti empat kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bomba di Sabah, Kluster Jalan Utara di Sabah, Kluster Benteng PK di Selangor dan Kluster Bakawali di Johor.-Yusop Teppo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama