VIVIAN : FILIPINA HARUS HENTIKAN SEBARANG TUNTUTAN

 


SANDAKAN: Filipina harus menghentikan sebarang tuntutan tidak berasas terhadap Sabah dengan segera kerana provokasi seperti itu keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata beliau menyokong sepenuhnya tuntutan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang menggesa Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien untuk mengambil tindakan segera dengan memanggil Duta Besar Filipina ke Malaysia untuk memprotes provokasi tersebut.

Katanya, ia merupakan tindakan yang amat tidak bertanggungjawab oleh Filipina.

“Tuntutan mereka terhadap Sabah telah beralih daripada retorik politik semata-mata sebelum ini dan kini meluluskan rang undang-undang yang baru itu.

“Ini sama sekali tidak dapat diterima dan bertentangan dengan kebijaksanaan diplomatik konvensional,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan yang mana Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina baharu sahaja meluluskan rang undang-undang baru berkaitan percetakan peta Filipina dengan membenarkan kerajaan mereka untuk memasukkan negeri Sabah dan zon ekonomi eksklusif 200 batu (ZEE) ke dalam peta pasport negara itu.

Vivian berkata, Persekutuan Malaysia ditubuhkan berikutan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 dan status Sabah sebagai anggota pengasas Persekutuan Malaysia juga dinyatakan dengan jelas dalam senarai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jelasnya lagi, tindakan provokatif dari Filipina tidak hanya menegangkan hubungan baik antara anggota ASEAN, tetapi juga merupakan serangan langsung terhadap kesucian PBB.

“Kita mesti berdiri bersama untuk mengecam tindakan Filipina.

“Sabah akan selalu menjadi sebahagian daripada Malaysia. Kedaulatan negara kita tidak boleh dirunding dan mesti dipertahankan setiap masa.

“Filipina mesti meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana membuat tuntutan yang keterlaluan,” katanya.-http://beritasabah.com


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama