RM3 Juta Untuk Pembangunan Enam Unit Pemprosesan Getah

 

    Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meluluskan peruntukan RM3 juta untuk penubuhan enam unit pemprosesan getah di lima daerah.

Shafie ketika ditemui selepas kunjungan hormat daripada Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Sabah Bersatu (USAHA) semalam berkata, unit pemprosesan berkenaan akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

Beliau berkata, jumlah pekebun kecil di Sabah sangat besar dan tersebar di seluruh negeri.

Tambahnya, antara perkara yang turut dibincangkan ialah keperluan mencari mekanisme untuk memastikan harga getah di Sabah serupa dengan harga di Semenanjung dan cara untuk membantu pekebun-pekebun kecil.

Sementara itu, Presiden USAHA Chua Men Nam menjelaskan dua unit pemprosesan getah akan ditubuhkan di Keningau dan selebihnya di Tenom, Tuaran, Kota Belud dan Matunggong.

Chua berkata, kawasan-kawasan yang terlibat telah dikenal pasti dan dialog bersama penduduk di kawasan berkenaan telah dibuat.

"Kami akan membimbing mereka dan akan meminta Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk masuk sebagai penasihat teknikal kami," katanya.

Jelasnya, unit pemprosesan berkenaan akan didirikan di kawasan seluas kira-kira 2,000 hingga 2,500 ekar dengan tujuan mengumpulkan pekebun-pekebun kecil agar mereka dapat menghasilkan getah berkualiti tinggi.

Chua berkata, pekebun-pekebun kecil kini menghasilkan getah beku 'cupclumps' kelas rendah dan USAHA mahu mereka memproses getah bermutu tinggi RSS1 dan RSS3 untuk dieksport dan digunakan di pasaran antarabangsa.

Beliau juga berkata, terdapat kilang pemprosesan getah tetapi pihak USAHA tidak mampu membangunkan seumpamanya kerana melibatkan Kos yang tinggi manakala unit-unit pemprosesan yang akan dibangunkan ini hanyalah kecil dan akan dikendalikan serta diuruskan oleh pekebun-pekebun kecil itu sendiri.

Tambahnya, setiap unit akan menelan belanja sekitar RM400,000 hingga RM500,000.

Chua berkata, terdapat kira-kira 100,000 pekebun kecil di Sabah dengan jumlah keseluruhan kawasan sekitar 120,000 hektar.  

"Sekarang kami menghasilkan kira-kira 30,000 tan getah setiap tahun dan sasaran kami adalah untuk membuat satu pertiga daripada pengeluaran terbabit diproses di unit pemprosesan.

"Kami tidak dapat mengumpulkan semua bahan mentah dari ladang mereka (pekebun-pekebun kecil) kerana ada yang terletak jauh. Itulah sebabnya sasaran kami hanya sepertiga pengeluaran mereka," katanya.

Jelasnya, sepertiga pengeluaran yang akan dibawa ke unit pemprosesan ini berjumlah 10,000 tan dan perbezaan harga antara getah berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh unit pemprosesan kecil dan 'cupclumps' serta slab yang kini dijual kepada LIGS oleh mereka adalah sekitar RM1,500 per tan.

"Ini melibatkan angka berjumlah RM15 juta yang juga adalah tambahan untuk pekebun kecil," katanya.

  •  oleh 

  • Disiarkan pada:

    Terbaru Lebih lama