Polis Cedera Ditikam Senjata Tajam Oleh Penagih

 

CEDERA: Anggota polis mengalami kecederaan di bahagian tangan
selepas ditikam menggunakan senjata tajam oleh penagih.
 Gambar kecil senjata tajam yang digunakan semasa kejadian dan
 pisau yang dirampas semasa penahanan suspek.



KOTA KINABALU: Demi mempertahankan keselamatan negara seorang anggota polis mengalami kecederaan selepas ditikam senjata tajam semasa menyerbu sarang penagih di sebuah taman perumahan di Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Hasil siasatan mendapati sepasukan polis menjalankan serbuan di blok G taman perumahan terbabit sebelum mendapati dua lelaki leka menghisap dadah di kawasan bawah tangga bangunan berkenaan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak membuang dua paket syabu seberat 0.20 gram bernilai RM20 di laluan pejalan kaki sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata pasukan polis yang membuat serbuan segera mengejar suspek menyebabkan suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara polis.

“Salah seorang suspek kemudiannya mengeluarkan senjata dipercayai bilah gunting besi yang sudah diubahsuai menjadi senjata tajam berukuran 13 sentimeter.

“Suspek bertindak menikam salah seorang anggota polis di bahagian tangan dan rusuk sebelah kiri menyebabkan polis terbabit mengalami kecederaan.

“Seorang lagi suspek juga bertindak merempuh dan menumbuk dada salah seorang anggota polis yang menahannya dari melarikan diri,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kedua-dua suspek berumur 33 dan 39 tahun berjaya ditahan dan polis turut menemukan sebilah pisau lengkap bersarung berukuran 32 sentimeter yang disorokkan di bahagian belakang salah seorang suspek.

“Kedua-dua suspek warga tempatan itu positif dadah jenis syabu dan kini ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya sambil menambah anggota polis yang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) sudah dibenarkan keluar berikutan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

  •  oleh -Vivi Olviana Najurus

  • Disiarkan pada:

    Terbaru Lebih lama