Muzium Tawau bakal jadi tarikan pelancong

 

LAWAT : Amrullah menyaksikan sendiri barang-barang lama yang disumbangkan kepada Muzium Tawau.

TAWAU : Muzium Tawau yang dibina di Jalan Airport Lama bakal dirasmikan pertengahan bulan September 2020 dan bersedia menerima kunjungan orang ramai.

Muzium yang julung kali diwujudkan itu merupakan inspirasi daripada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah untuk mengumpul semua artifak lama yang ada di daerah Tawau.

Presiden MPT, Datuk Amrullah Kamal berkata usaha mengumpulkan semua artifak lama yang mempunyai nilai tersendiri sudah diwar-warkan sebelum dipersembahkan pada hari ini untuk diperiksa oleh pihak Jabatan Muzium Sabah.

"Kita melihat ramai masyarakat di daerah ini yang menyimpan barang-barang bersejarah dari dalam dan luar negara termasuk yang sudah berusia hampir 100 tahun.

"Barang antik ini sangat bernilai dan perlunya ada usaha untuk memperkenalkan kepada masyarakat terutamanya generasi baharu supaya mereka dapat menyaksikan sendiri keunikan barang-barang lama," katanya ketika ditemui pada hari penyerahan barang-barang lama di MPT, di sini semalam.Mengulas lanjut, Muzium Tawau ini dilihat mampu menjadi daya tarikan pelancong sekiranya ianya berjaya mengumpul lebih banyak barang- barang antik.

"Namun, sebagai permulaan kita berusaha merealisasikan muzium ini walaupun hanya di tempat yang sederhana dan jumlah barang yang minimum.

"Apa yang penting ianya diwujudkan dahulu, kita tidak perlu tunggu sehingga semuanya sempurna baharu mahu buat, selebihnya kita akan berusaha menambah baik melalui kerjasama semua pihak" katanya

Amrullah berkata, pihak MPT juga sedang dalam kajian tentang nama-nama tempat yang menggunakan nama orang Jepun seperti Kuhara, Kubota, Yamamoto dan banyak lagi.

"Saya percaya nama-nama orang Jepun tersebut mempunyai signifikan yang perlu pengkajian bagi mengetahui asal usul tempat tersebut.

"Sebenarnya banyak boleh diperkenalkan di daerah ini yang boleh dipersembahkan di muzium itu nanti, namun perlunya kajian terlebih dahulu untuk memudahkan proses penerangan," katanya

Beliau berkata, pihak MPT mempunyai idea terhadap tanah seluas dua ekar di kawasan muzium itu termasuklah membina rumah setiap etnik di Tawau seperti yang ada di Muzium Sabah Kota Kinabalu.

"Kita mengharapkan supaya semua pihak termasuklah mengalu-alukan syarikat-syarikat melalui program sosial korporat (CSR) untuk membantu menaiktaraf muzium ini.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa tetap Koleksi Muzium Sabah, Stanley Peter menyeru orang ramai untuk bersama-sama menyumbang lebih banyak barang-barang lama terutamanya yang berkaitan sejarah Tawau.

"Masyarakat boleh menjual, menderma atau meminjamkan kepada muzium untuk disimpan menjadi khazanah yang boleh dipamerkan kepada orang ramai," katanya.-Hamzah Sanudin


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama