KPDNHEP sita gula, minyak masak, tepung gandum bernilai RM10,000

PERIKSA: Pegawai serbuan KPDNHEP semasa menjalankan
 pemeriksaan di premis yang menyimpan barang kawalan
 melebihi daripada had kuantiti stok yang dibenarkan.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita sejumlah barang keperluan termasuk gula, minyak masak dan tepung gandum bernilai RM10,000 dalam satu serbuan di sini.

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Sabah Taha Julai berkata, kesemua barangan itu dirampas di sebuah premis perniagaan di Pekan Manggatal yang juga pemegang lesen runcit barang kawalan.

“Peruncit ini diambil tindakan selepas dipercayai melakukan kesalahan memiliki barang kawalan melebihi daripada had kuantiti stok yang dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemilik perniagaan berkenaan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

Katanya, bagi kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang atau individu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta.-Vivi Olviana Najurus


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama