![]() |
SELESAI: Baintin (empat kiri) bersama warga setempat yang hadir menyaksikan perbicaraan kes membabitkan warga asing berkenaan. - Gambar sumber Facebook |
Ketua MAN Kota Marudu Datuk Baintin Adun menjatuhkan hukuman terbabit kepada Amir Ali Khan selepas didapati bersalah kerana menghina komuniti Kadazandusun Murut Rungus (KDMR).
Tertuduh didapati bersalah atas enam kesalahan membabitkan rakam suara yang tular menghina komuniti KDMR di Kota Marudu.
Baintin berkata, tertuduh yang menjalankan perniagaan di pekan Kota Marudu diberikan tempoh selama sebulan untuk menyelesaikan denda terbabit.
Menurutnya, jika gagal tertuduh akan dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau penjara selama 16 bulan atau kedua-duanya sekali.
"Terdahulu, aduan berhubung tindakan tertuduh itu dilaporkan di MAN Kota Marudu pada 9 Jun lepas berikutan rakaman suara terbabit menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk di daerah berkenaan.
"Perbicaraan untuk kes ini awalnya ditetapkan pada 17 Jun namun ditangguhkan berikutan tertuduh perlu menjalani penilaian mental di Hospital Mesra Bukit Padang Kota Kinabalu," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, antara kesalahan yang didapati dalam rakaman suara itu termasuklah ugutan, penggunaan bahasa tidak sopan dan menimbulkan kemarahan masyarakat.
Katanya, perbicaraan kes kali ini diumumkan kepada orang awam kurang daripada 12 jam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kerana membabitkan kemarahan komuniti setempat.
"Pada masa akan datang, saya menasihatkan mana-mana warga asing yang sudah lama tinggal di Sabah dan begitu juga orang lain supaya tidak menggunakan sentimen berbaur perkauman jika berlaku pertelingkahan.
"Mereka sepatutnya hanya fokus kepada nama individu yang mempunyai masalah berkaitan dengan urusan mereka," jelasnya.
Pada 19 Jun lepas, orang ramai memenuhi kawasan perkarangan MAN Kota Marudu berikutan perbicaraan kes terbabit namun selepas diberitahu kes ditangguhkan, mereka mula bersurai.