TAWAU: Dua rakyat tempatan dan 13 warga asing ditahan Kompeni B Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semporna dalam satu sekatan jalan raya menerusi Ops Benteng COVID di Kalabakan, Ahad lepas.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Supt. Mohd Yacob Murad dalam kenyataan berkata, sepasukan anggota diketuai Insp Siva Chandra Boss A/L Rajah telah menjalankan operasi sekatan di kawasan itu.
Menurutnya, semasa menjalankan sekatan jalan raya pasukan berkenaan telah menahan dan memeriksa dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu dua lelaki rakyat tempatan kira-kira jam 4 petang kerana melebihi muatan penumpang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua buah kenderaan itu membawa seorang lelaki dewasa, 11 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan warga asing berumur 10 hingga 49 tahun,”katanya.
Mohd Yacob berkata, kesemua warga asing berkenaan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah serta hanya menyatakan secara lisan kepada pasukan polis mereka bekerja di sektor peladangan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran.
Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua warga asing yang turut membawa barang keperluan mereka itu disyaki cuba keluar dari Kalabakan.
Kesemua tangkapan dan rampasan katanya yang dianggar bernilai RM100 ribu itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.-OLEH NAZRINI BADARUN