SEMUA guru dan kakitangan Pajabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau yang terbabit dengan Majlis Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) pada 10 hingga 11 Mac lalu diarah untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Pegawai Kesihatan Kawasan, Dr G Navindran berkata arahan itu dikeluarkan berikutan terdapat seorang guru yang mengendalikan majlis itu disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan (KK) Tawau.
“Sehubungan itu, pihak kami sudah mengeluarkan surat bertarikh 17 April kepada PPD Tawau bagi mengarahkan semua kakitangannya yang terbabit dalam majlis berkenaan untuk segera tampil menjalani ujian pengesahan Covid-19” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, seramai 76 orang dipercayai terbabit ketika menjayakan acara itu dikehendaki tampil membuat saringan di KK Tawau bermula hari ini.
Sementara itu, Pegawai PPD Tawau, Zamri Pehakan ketika dihubungi mengesahkan semua guru dan kakitangan itu sudah dimaklumkan melalui Pengetua dan Guru Besar masing-masing.
“Kita sudah menghantar surat arahan kepada semua sekolah itu seperti yang diarahkan oleh pihak PKK Tawau,” katanya
Mengenai status pelajar yang menyertai majlis itu pula, beliau berkata setakat ini hanya guru dan kakitangan pendidikan sahaja diarahkan menjalani ujian saringan berkenaan.
“Bagaimanapun, pihak kami dari semasa ke semasa akan sentiasa patuh dan mengikuti setiap pandangan serta nasihat daripada PKK Tawau,” katanya.